Peristiwa fitnah Al-Ifik adalah peristiwa yang sangat menyentuh jiwa semua orang yang menghayatinya. Ini kerana, peristiwa ini melibatkan fitnah terhadap ummatul mukminin Aishah ra. Peristiwa ini juga menjadikan Rasullullah tidak semesra dulu dengan Aishah dan Baginda sentiasa dalam keadaan berdukacita.
Kronologi Kisah
1. Rombongan perang muslimin dalam perjalanan pulang setelah kemenangan mudah dalam peperangan bani Musta’liq
2. Setelah tiba di suatu tempat berhampiran Madinah, Rasulullah SAW bersama para sahabatnya telah berhenti rehat. Ketika ini, Siti Aisyah telah keluar untuk menunaikan hajat di suatu tempat yang terselindung daripada pandangan tentera Islam.
3. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat sekedup untanya dan mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau terus kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.
4. Setelah Aisyah kembali ke tapak perkhemahan, beliau mendapati rombongan tentera telah berangkat tanpanya. Maka beliau terus berkelubung dengan hijabnya dan duduk menunggu di tempat untanya tadi, mudah-mudahan akan datang orang mencarinya selepas ini. Dalam keadaan cemas itu beliau menangis sehingga tertidur.
5. Kemudian datanglah Sofwan bin al-Mu‘attal al-Sulami yang berada di bahagian belakang rombongan, yang tugasnya memang mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal. Setelah melihat seorang perempuan di tepi jalan, beliau begitu terkejut dan terus beristirja’ lebih-lebih lagi apabila beliau mengenali Siti Aisyah sebelum turunnya ayat Hijab.
6. Tanpa berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan berliau berjalan membuntuti unta tersebut. Aisyah RA berkata: “Kami tidak bercakap walau sepatahpun kecuali istirja’ Sofwan.” Akhirnya mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi.
7. Apabila melihat Aisyah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat mereka. Mulalah mereka membuat cerita kononnya Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini. Sebahagian yang lain pula mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri sahaja.
8. Setelah tiba di Madinah, telah tersebar ‘Hadis Ifki’ (tuduhan jahat) ini. Rasulullah SAW sendiri diam tidak bercakap, menantikan wahyu. Wahyu pula tidak turun kepada Rasulullah SAW hampir sebulan. Ini adalah untuk menguji keimanan kaumnya dan untuk menzahirkan golongan munafiqin.
9. Hampir sebulan berada dalam keadaan demikian, pada suatu hari, datanglah Rasulullah SAW ke rumah isterinya Aisyah bersama ayah dan ibunya. Baginda SAW bersabda kepada Aisyah yang sedang asyik menangis:
Maksudnya: ((Wahai Aisyah, sekiranya engkau suci daripada tuduhan ini, nescaya Allah akan membebaskan engkau, sekiranya engkau tersasar, maka beristighfarlah, sesungguhnya sekiranya seorang hamba itu bersalah kemudian dia mengakui dan bertaubat, pasti Allah SWT akan menerimanya.))
10. Pada waktu inilah turunnya ayat yang membebaskan Aisyah RA dari segala tuduhan yang tohmahan dan fitnah ke atasnya. Ia juga menjanjikan hukuman terhadap golongan yang menuduhnya.
Firman Allah
"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar." [An-Nur: 11]
Kesan Peristiwa Al-Ifik
1. Kemurungan Rasulullah yang sangat mencintai Aishah
2. Cabaran kepada Saidina Abu Bakar dan Ummu Ruman terhadap fitnah yang melanda anaknya
3. Ketabahan dan pengharapan Aishah yang tidak putus kepada pembelaan Allah
4. Sahabat Rasulullah yang dituduh bersama ummul mukmunin(Safwan)
5. Masyarakat Islam yang keluh kesah tentang peristiwa itu.
Sikap Seorang Islam dalam mendepani fitnah
Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." [Al-Hujuraat: 6].
1. hendaklah kita berhati-hati ketika menerima satu-satu berita dan mengkajinya samada ia adalah satu berita yang benar atau satu fitnah.
2. Sekiranya kita menerima sesuatu berita secara bulat-bulat tanpa usul periksa nescaya ia akan memudharatkan masyarakat Islam
3. para muslimin hendaklah bersangka baik sesama mereka dan tidak mempercayai sesuatu yang tidak pasti apatah lagi menyebarkannya pula.
Firman Allah SWT: Maksudnya: "Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang- orang yang dusta." [An-Nur: 12-13].
4. Allah SWT memberi amaran agar jangan bercakap sebarangan membuat ulasan, mungkin kita menyangka isu yang diulas adalah perkara biasa atau remeh tapi dosanya sangat besar di sisi Allah SWT: Firman Allah SWT yang bermaksud:"(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. padahal dia pada sisi Allah adalah besar." [An-Nur: 15]
Penutup
Sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Berkata Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW menaiki mimbar dan bersabda dengan suara yang kuat: “Wahai golongan yang masuk Islam dengan lidahnya, tetapi imannya belum sampai ke hatinya (munafiqin), jangan kamu menyakiti kaum muslimin, jangan menghina mereka, jangan juga mencari keaiban mereka, sesungguhnya sesiapa yang bekerja mencari keaiban saudaranya yang muslim, Allah akan mencari keaibannya dan sesiapa yang dicari keaibannya oleh Allah, Allah akan mendedahkannya walaupun (tersembunyi) di dalam rumahnya (kenderaannya).” [HR: At-Tirmizi No. 2032 “Hasan”]
No comments:
Post a Comment