Friday, 13 February 2015

Biodata "Almarhum" YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat





Biodata "Almarhum"  YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat 

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.


Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Disinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.

"Allahummaghfirlahu warhamhu wa'aafihi wa'fu 'anhu" 

"Ya Allah ampunilah dia, berilah rahmat, kesejahteraan dan maafkanlah dia"

"Tidaklah seorang muslim meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat, melainkan Allah akan menjaganya dari fitnah (siksa) kubur". [HR Ahmad dan Tirmidzi]

Thursday, 26 June 2014

MENGEMBALIKAN KE ISLAM



Alhamdulillah..

Harini 12 February 20114 berjaya mensyahadahkan dua org 

sedara kita dijabatan agama 

islam wilayah perseketuan (JAWI)

Mereka telah KEMBALI KE ISLAM.

tahniah Surendren  Sahabat Sekerja dan Premjit Kaur 

Sahabat Sekuliah Saya.


Sejarah Pensyariatan Puasa Dalam Islam


Sejarah Pensyariatan Puasa
Para ulamak berselisih pendapat, bilakah kewajipan puasa bermula? Sebahagian mereka berpandangan, ia bermula pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah. Pendapat ini disandarkan kepada ulama mazhab Shafie.
Sebahagian mereka pula berpendapat, sebelum puasa diwajibkan pada bulan Ramadhan, umat Islam telahpun diwajibkan berpuasa pada hari Asyura iaitu hari yang kesepuluh dalam bulan Muharam. Kemudian kewajipan tersebut telah diangkat dan digantikan dengan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan.
Pendapat ini disandarkan kepada ulama mazhab Hanafi berdasarkan kepada beberapa hadis berikut:
Abdullah bin Umar R.A berkata: “Rasulullah S.A.W telah berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa pada hari tersebut. Apabila difardukan puasa pada bulan Ramadhan, maka puasa hari Asyura tidak lagi dilakukan sebagai ibadah wajib”.
Abdullah bin Umar tidak berpuasa pada hari Asyura melainkan jika ia kebetulan jatuh pada hari yang menjadi kebiasaan bagi beliau berpuasa sunat. Demikian kerana beliau sering melazimi puasa sunat MELEBIHI DUA HARI dalam seminggu. Beliau juga berpendapat bahawa makruh berpuasa dengan niat puasa hari Asyura semata-mata. Bagaimanapun, setelah beliau meninggal dunia, pendapat yang mengatakan makruh berpuasa pada hari Asyura tidak lagi digunakan.
Aisyah R.A berkata: “Pada zaman jahiliah, masyarakat Quraisy sering berpuasa pada hari Asyura. Kemudian Rasulullah S.A.W mengarahkan para sahabat supaya turut berpuasa pada hari tersebut sehinggalah difardukan puasa pada bulan Ramadhan. Ketika itu, Baginda S.A.W bersabda kepada mereka: “Barang siapa mahu berpuasa, dia boleh melakukannya. Barang siapa mahu berbuka, dia juga boleh melakukannya”.
Ulamak mazhab Shafie berpendapat, dalil-dalil di atas tidak mengandungi perintah wajib. Ia sekadar anjuran puasa yang bermaksud sunat. Pendapat mereka ini di kuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muawiyah bin Abu Sufian R.A. Beliau berkata: “Wahai penduduk Madinah! Di manakah para ulamak kamu? Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Hari ini adalah hari Asyura. Allah S.W.T tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa padanya. Aku sedang berpuasa. Barang siapa yang mahu berpuasa, dia boleh melakukannya. Barang siapa yang mahu berbuka, dia juga boleh melakukannya”.


Ucapan tersebut disampaikan sesudah beliau diangkat menjadi Khalifah umat Islam. Beliau mempersoalkan peranan ulama Madinah ketika itu disebabkan sikap sebahagian penduduk Madinah yang tidak mengambil berat puasa hari Asyura. Bahkan ada yang berpendapat berpuasa pada hari tersebut adalah makruh. Justeru, beliau menegaskan bahawa berpuasa pada hari tersebut merupakan sunnah yang sering dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.
Sebahagian ulama berpendapat, hadis Muawiyah masih samar dalam menafikan kewajipan berpuasa pada hari Asyura. Malah, terdapat banyak hadis yang menunjukkan ia benar-benar pernah diwajibkan kepada umat Islam. Setelah difardukan puasa pada bulan Ramadhan, kewajipan berpuasa pada hari Asyura ini diringankan sehingga menjadi sunat. Antara ilmuwan yang memilih pendapat ini ialah Imam Ibnu Hajar al-Asqalani.
Jika benar umat Islam pernah diwajibkan berpuasa pada hari Asyura, apakah waktu yang paling tepat bagi kefarduan ini? Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan, kali pertama umat Islam melaksanakan kewajipan puasa hari Asyura ialah pada tahun kedua hijrah. Hal ini disebabkan penghijrahan Rasulullah S.A.W ke kota Madinah berlaku pada bulan Rabiul Awal iaitu bulan yang ketiga di dalam taqwim hijri. Baginda S.A.W hanya mengerjakan puasa hari Asyura pada bulan Muharam pada tahun seterusnya.
Kemudian pada bulan Ramadhan di tahun yang sama, kewajipan puasa Ramadhan disyariatkan. Hal ini bermakna Rasulullah S.A.W dan para sahabat hanya melakukan puasa wajib hari Asyura sekali seumur hidup mereka. Setelah itu mereka melakukannya dalam keadaan sunat sahaja.
Sebab diwajibkan puasa hari Asyura telah dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas R.A. Beliau berkata: “Setibanya Rasulullah S.A.W ke Madinah, Baginda mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu ditanyakan hal itu kepada mereka. Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari bertuah iaitu hari Allah S.W.T menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka iaitu Firaun. Lalu dengan sebab itu nabi Musa A.S berpuasa padanya”. Mendengarkan jawapan tersebut, Rasulullah S.A.W bersabda: Aku lebih berhak melakukan apa yang dilakukan oleh Musa A.S berbanding kamu. Lalu Rasulullah S.A.W berpuasa pada hari tersebut dan mengarahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut”.
Para ulama menjelaskan, di awal kedatangan Rasulullah S.A.W ke kota Madinah, Baginda ingin sekali melihat agar perbuatan umat Islam itu mirip atau hampir menyamai perbuatan kaum Yahudi. Ini bertujuan untuk menarik minat kaum Yahudi kepada Islam dan memperlihatkan kehebatan Islam ke atas agama berhala yang dianuti oleh bangsa Arab ketika itu. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Rasulullah S.A.W mengarahkan umatnya berpuasa pada hari Asyura.
Namun, setelah Islam semakin tersebar dan kuat, kaum Yahudi pula tidak menunjukkan semangat kejiranan, apatah lagi mahu memeluk Islam. Baginda S.A.W telah mengarahkan umatnya agar memiliki imej dan identiti sendiri dan tidak mengikut telunjuk kaum Yahudi. Justeru, di akhir hayat Rasulullah S.A.W, baginda berazam untuk berpuasa pada hari yang kesembilan daripada bulan Muharam supaya puasa umat Islam tidak dilihat mirip dengan puasa kaum yahudi.
Selain kaum Yahudi, masyarakat Arab Jahiliyyah juga mengamalkan puasa hari Asyura. Diandaikan bahawa mereka melakukannya berdasarkan saki-baki ajaran nabi Ibrahim A.S yang masih lagi diamalkan ketika itu, dan Rasulullah S.A.W belum lagi mewajibkan ke atas umatnya berpuasa pada hari tersebut sehinggalah baginda tiba di Madinah.
“Demikianlah sejarah ringkas tentang pensyariatan puasa dalam Islam”

SUMBER :
Markaz Pengumpulan Kajian & Hasil Penyelidikan PMRAM



Wednesday, 14 May 2014

FitNah AkHir ZaMan


Definisi
Kamus: tuduhan (khabar, kisah, dan lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dan lain-lain
AL-Quran: Ujian dan cabaran, seksaan, dosa, kekufuran berpaling dari jalan yang benar, sesat, syirik

Firman Allah:
“Dan sebahagian mereka ada yang berkata “izinkanlah aku untuk tidak berperang dan janganlah menyebabkan aku berbuat dosa. Ketahuilah mereka telah terjebak dalam dosa (dengan tidak mahu pergi berperang).” (49 : at-Taubah)
“Dan sesungguhnya kami telah menguji ummat yang terdahulu.” (3 : al-Ankabut)



Tuesday, 15 April 2014

TuDuhan FitNah TerHadap Maryam



Tuduhan kepada Siti Maryam yang melahirkan anak tanpa bapa mengundang fitnah yang sangat menyakitkan jiwa. Seorang gadis suci dan wara’ diberikan keistimewaan oleh Allah mengandungkan seorang putera yang akhirnya diangkat menjadi Nabi dan Rasul. Bukan sahaja kaum kerabatnya malah keluarga terdekatnya juga melemparkan fitnah sehingga memaksa Siti maryam keluar dari kampong halaman untuk mencari tempat yang tenang dan melahirkan anaknya.
Pembersihan terhadap Siti Maryam a.s juga berlaku melalui wahyu, di mana Allah s.w.t mengizinkan Isa a.s yang masih kecil telah membela ibunya daripada tuduhan zina. Penghakiman yang berlaku ini adalah merupakan petunjuk kepada umat ketika itu, bahawa fitnah terhadap Siti Maryam a.s adalah tuduhan yang berasaskan sangkaan semata-mata.

Wednesday, 2 April 2014

Kisah Fitnah Nabi Yusuf dan Siti Zulaikha


Kisah ini menjadi contoh terbaik dalam peristiwa fitnah yang pernah melanda dalam sejarah Islam. Setelah gagal dengan pelbagai cubaan untuk menggoda dan melakukan maksiat dengan Nabi Allah Yusuf a.s. tidak berjaya, akhirnya Siti Zulaikha mengambil pendekatan terakhir dengan melemparkan fitnah yang kononnya Nabi Yusuf lah yang ingin memperkosanya berbuktikan baju Nabi Yusuf yang koyak ketika itu seolah-olah Siti Zulaikha ingin melepaskan diri dari Nabi Yusuf.

Setelah diadili oleh hakim didapati baju Nabi Yusof a.s koyak di belakang, ini menunjukkan bahawa Nabi Yusof tidak bersalah kerana bajunya tidak koyak di hadapan. Pengadilan yang diputuskan oleh hakim itu menunjukkan Nabi Yusof a.s tidak bersalah, bahkan Siti Zulaikha yang bersalah terhadap tuduhannya sendiri. Pembuktian bahawa baju Nabi Yusof a.s. koyak di belakang sudah memadai untuk menafikan tuduhan Siti Zulaikha terhadap Nabi Yusof a.s. dan hakim pada masa itu menolak tuduhan tersebut dan membebaskan Nabi Yusof a.s.

Wednesday, 12 March 2014

Fitnah PeristiWa Al - IfiK


Peristiwa fitnah Al-Ifik adalah peristiwa yang sangat menyentuh jiwa semua orang yang menghayatinya. Ini kerana, peristiwa ini melibatkan fitnah terhadap ummatul mukminin Aishah ra. Peristiwa ini juga menjadikan Rasullullah tidak semesra dulu dengan Aishah dan Baginda sentiasa dalam keadaan berdukacita.
Kronologi Kisah

1. Rombongan perang muslimin dalam perjalanan pulang setelah kemenangan mudah dalam peperangan bani Musta’liq

2. Setelah tiba di suatu tempat berhampiran Madinah, Rasulullah SAW bersama para sahabatnya telah berhenti rehat. Ketika ini, Siti Aisyah telah keluar untuk menunaikan hajat di suatu tempat yang terselindung daripada pandangan tentera Islam.

3. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat sekedup untanya dan mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau terus kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.

4. Setelah Aisyah kembali ke tapak perkhemahan, beliau mendapati rombongan tentera telah berangkat tanpanya. Maka beliau terus berkelubung dengan hijabnya dan duduk menunggu di tempat untanya tadi, mudah-mudahan akan datang orang mencarinya selepas ini. Dalam keadaan cemas itu beliau menangis sehingga tertidur.

5. Kemudian datanglah Sofwan bin al-Mu‘attal al-Sulami yang berada di bahagian belakang rombongan, yang tugasnya memang mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal. Setelah melihat seorang perempuan di tepi jalan, beliau begitu terkejut dan terus beristirja’ lebih-lebih lagi apabila beliau mengenali Siti Aisyah sebelum turunnya ayat Hijab.

6. Tanpa berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan berliau berjalan membuntuti unta tersebut. Aisyah RA berkata: “Kami tidak bercakap walau sepatahpun kecuali istirja’ Sofwan.” Akhirnya mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi.

7. Apabila melihat Aisyah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat mereka. Mulalah mereka membuat cerita kononnya Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini. Sebahagian yang lain pula mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri sahaja.

8. Setelah tiba di Madinah, telah tersebar ‘Hadis Ifki’ (tuduhan jahat) ini. Rasulullah SAW sendiri diam tidak bercakap, menantikan wahyu. Wahyu pula tidak turun kepada Rasulullah SAW hampir sebulan. Ini adalah untuk menguji keimanan kaumnya dan untuk menzahirkan golongan munafiqin.

9. Hampir sebulan berada dalam keadaan demikian, pada suatu hari, datanglah Rasulullah SAW ke rumah isterinya Aisyah bersama ayah dan ibunya. Baginda SAW bersabda kepada Aisyah yang sedang asyik menangis:
Maksudnya: ((Wahai Aisyah, sekiranya engkau suci daripada tuduhan ini, nescaya Allah akan membebaskan engkau, sekiranya engkau tersasar, maka beristighfarlah, sesungguhnya sekiranya seorang hamba itu bersalah kemudian dia mengakui dan bertaubat, pasti Allah SWT akan menerimanya.))

10. Pada waktu inilah turunnya ayat yang membebaskan Aisyah RA dari segala tuduhan yang tohmahan dan fitnah ke atasnya. Ia juga menjanjikan hukuman terhadap golongan yang menuduhnya.

Firman Allah
"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar." [An-Nur: 11]



Kesan Peristiwa Al-Ifik

1. Kemurungan Rasulullah yang sangat mencintai Aishah

2. Cabaran kepada Saidina Abu Bakar dan Ummu Ruman terhadap fitnah yang melanda anaknya

3. Ketabahan dan pengharapan Aishah yang tidak putus kepada pembelaan Allah

4. Sahabat Rasulullah yang dituduh bersama ummul mukmunin(Safwan)

5. Masyarakat Islam yang keluh kesah tentang peristiwa itu.
Sikap Seorang Islam dalam mendepani fitnah

Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." [Al-Hujuraat: 6].

1. hendaklah kita berhati-hati ketika menerima satu-satu berita dan mengkajinya samada ia adalah satu berita yang benar atau satu fitnah.

2. Sekiranya kita menerima sesuatu berita secara bulat-bulat tanpa usul periksa nescaya ia akan memudharatkan masyarakat Islam

3. para muslimin hendaklah bersangka baik sesama mereka dan tidak mempercayai sesuatu yang tidak pasti apatah lagi menyebarkannya pula.
Firman Allah SWT: Maksudnya: "Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang- orang yang dusta." [An-Nur: 12-13].

4. Allah SWT memberi amaran agar jangan bercakap sebarangan membuat ulasan, mungkin kita menyangka isu yang diulas adalah perkara biasa atau remeh tapi dosanya sangat besar di sisi Allah SWT: Firman Allah SWT yang bermaksud:"(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. padahal dia pada sisi Allah adalah besar." [An-Nur: 15]

Penutup
Sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Berkata Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW menaiki mimbar dan bersabda dengan suara yang kuat: “Wahai golongan yang masuk Islam dengan lidahnya, tetapi imannya belum sampai ke hatinya (munafiqin), jangan kamu menyakiti kaum muslimin, jangan menghina mereka, jangan juga mencari keaiban mereka, sesungguhnya sesiapa yang bekerja mencari keaiban saudaranya yang muslim, Allah akan mencari keaibannya dan sesiapa yang dicari keaibannya oleh Allah, Allah akan mendedahkannya walaupun (tersembunyi) di dalam rumahnya (kenderaannya).” [HR: At-Tirmizi No. 2032 “Hasan”]