Friday, 17 February 2012

Si Budak Kecil & Sepohon Epal


Alkisah seorang ayah memanggil anak-anaknya yang masih kecil bercerita santai di katil pada suatu malam. Si anak berasak-asak mendengar kisah yang ingin diceritakan si bapa. Apa cerita si ayah kali ini?

Si ayah memberitahu dia ingin bercerita tentang sepohon epal yang rendang. Begini ceritanya..

Tersebutlah kisah sepohon epal yang besar lagi rendang di halaman rumah. Di situlah seorang kanak-kanak lelaki sering menghabiskan masanya bermain-main di bawah pohon epal itu setiap hari.

Kanak-kanak lelaki itu selalu memanjat pokok epal berkenaan bergayut pada dahan-dahan serta memakan buah-buah epal yang masak meranum serta tertidur di pangkalnya.

Budak lelaki itu teramat sayang kepada pohon epal yang sangat rendang, tempat dia bermain dan berteduh setiap hari.

Masa berlalu.. Si budak kecil itu kini meningkat dewasa. Dia kini sudah kacak dan bergaya, tidak mahu lagi bermain-main di pohon epal yang rendang itu.

Suatu hari, pemuda itu menjenguk seketika pohon epal itu. Wajah pohon epal itu nampak sedih. 

"Marilah bermain-main di bawah pokok ini!" ajak si pohon epal.

Pemuda itu enggan, lantas memberitahu dia bukan lagi anak kecil, suka bermain-main di bawah pokok epal seperti dulu.

Sekarang dia sudah remaja dan teringin membeli alat permainan yang lebih canggih malangnya tidak berduit.

"Aku pun tidak berduit, tapi engkaub oleh ambil semua buahku untuk membeli barang mainan kegemaranmu." Beritahu pohon epal.

Pemuda itu amat gembira lantas memetik semua buah epal yang masak untuk dijual di pasar. namun setelah menjual buah epal, anak muda itu tidak lagi menjenguk si pohon epal itu. Lalu si pohon epal bersedih.




Suatu hari pemuda itu datang lagi. Pohon epal amat gembira lalu berteriak, "Marilah bermain-main denganku!"

"Ah, aku tak ada masa! Aku sibuk, banyak kerja!" kata si pemuda itu.

Pemuda itu memberitahu dia sekarang sedang berusaha untuk membahagiakan keluarganya. Si pemuda amat memerlukan sebuah kediaman yang selesa sebagai tempat tinggal anak-anak dan isterinya tetapi tidak cukup duit untuk membeli rumah idamannya.

"Maaf aku pun tak ada duit, tapi kamu boleh tebang dahan-dahan dan segala rantingku ini untuk dijadikan rumah yang selesa." Lalu si pemuda itu menebang segala dahan dan ranting lantas berlalu pergi.

Si pohon epal gembira melihat pemuda itu bahagia bersama keluarganya tetapi tidak pernah menjenguknya lagi. Pohon epal berasa sedih dan kesepian.

Pada suatu musim tengkujuh, pemuda itu datang lagi menggigil kesejukan terkena hujan. Si pemuda lantas berlari-lari. Pohon epal sangat gembira menyambut kedatangan si anak lelaki yang bertahun tidak berjumpa.

"Marilah bermain-main dekatku!" kata si pohon epal.

"Aku sedih!" kata pemuda itu.

"Aku sudah dewasa, teringin berhibur dan belayar!" beritahu si pemuda.

"Maaf aku tak ada kapal, tetapi engkau boleh potong batang tubuhku dan gunakan untuk membuat kapal seperti engkau idamkan. Pergilah belayar, bersenang lenang di daratan dan lautan!" kata si pohon epal.

Si pemuda itu pun pergi belayar dan selepas itu tidak nampak lagi bayang-bayangnya menjenguk si pohon epal.

Akhirnya... setelah bertahun-tahun meninggalkan si pohon epal kesunyian, si pemuda dulunya gagah kini semakin tua, datang lagi. 

"Maaf anakku!" kata si pohon epal.

"Kini aku dah tak ada memiliki buah untuk engkau petik, makan dan jual!" keluh si pohon epal kecewa.

"Tak apalah, aku pun dah tak ada gigi lagi nak gigit epalmu!" kata si anak lelaki itu.

"Sekarang aku juga tak ada dahan dan ranting untuk engkau panjat seperti dulu.." kata si pohon epal semakin sebak.

"Tak mengapalah.. sekarang aku pun dah tak larat lagi nak panjat." kata si anak lelaki.

"Aku tak ada apa-apa lagi nak berikan kepadamu. Yang tinggal hanyalah akar-akar yang berselirat dan tidak berguna lagi!" kata si epal sambil menangis teresak-esak.

"Aku juga tidak perlukan apa-apa lagi sekarang. Aku hanya perlu tempat brehat setelah penat belayar dan sekian lama meninggalkanmu." kata si anak lelaki sebak.

"Oh, anakku! Tahukah engkau, akar-akar yang berselirat inilah tempat paling seronok untuk engkau berehat dan berbaring. Marilah baring di atas pelukan akarku yang telah tua ini." rayu si pohon epal.

Lantas si anak lelaki berbaring di atas akar pohon epal yang berselirat itu. Pohon epal sangat gembira lantas menangis kegembiraan setelah melepaskan rindu dapat bertemu dengan si anak lelaki setelah terpisah sekian lama..

"Tamatlah cerita.. si pohon epal," beritahu ayah kepada anaknya.

Lantas si ayah memberitahu bahawa kisah itu adalahuntuk renungan anak-anaknya.

Pohon itu lambang orang tua kita. Semasa kecilkita seronok bermain-main dan bergurau senda dengan ayah  dan ibu kita. Tapi setelah dewasa kita pergi meninggalkan mereka untuk mencari ilmu dan pengalaman hidup.

Sebagai anak lelaki, kita hanya datang menjenguk ayah dan ibu sekali sekala apabila perlukan pertolongan atau meminta bantuan.

Namun, ayah dan ibu tetap membantu kita selagi terdaya hatta sanggup mengorbankan nyawanya sendiri asalkan anak-anaknya dapat hidup bahagia.

Pembaca sekalian, mungkin anda terfikir anak lelaki itu bertindak kejam terhadap si pohon epal, tetapi realitinya itulah hakikat cara kita memperlakukan terhadap orang tua kita.

Renung-renungkanlah...


No comments:

Post a Comment