Thursday, 2 February 2012

Masalah Mental = GILA?


Siapa rasa dirinya sihat fizikal dan mental 100%? Alhamdulillah.. Kalau tak sihat mesti sukar nak membaca atau membuka PC kan? 

Biasanya, kita menganggap orang yang menghadapi masalah mental adalah orang yang ditahan di pusat-pusat pemulihan mental seperti di rumah sakit jiwa.

Ramai di kalangan kita yang menganggap diri bebas daripada belengu masalah mental. Namun berdasarkan kajian oleh NHS, satu daripada empat orang mengalami masalah mental, samada disedari ataupun tidak. Salah satu tanda seseorang mengalami masalah mental adalah seperti mengalami tekanan dan kemurungan. Penyakit mental melibatkan gangguan fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. 
Menurut Polisi Kesihatan Mental Malaysia, - Kesihatan Mental merujuk kepada keupayaan individu, kumpulan dan persekitaran untuk berinteraksi di antara satu sama lain bagi menjana perasaan sejahtera dan fungsi yang optima dan penggunaan kebolehan kognitif/ intelek, afektif / emosi dan perhubungan dalam mencapai matlamat individu dan kumpulan yang konsisten dengan keadilan.(Adaptasi dari Kanada)  

Ini pula adalah definisi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), individu yang sihat mental berupaya mengekalkan perhubungan yang harmoni dengan orang lain, mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan boleh menyumbang di dalam masyaraka.

Ciri-ciri pesakit yang mengalami masalah mental :
~Perasaan rendah diri.
~Tekanan dalam hidup.
~Pertelingkahan dan keruntuhan rumahtangga / keluarga.
~Kecenderungan melakukan kegiatan tidak bermoral (minum arak, bohsia, penyalahgunaan najis dadah, sumbang muhrim dan perzinaan)
~Suasana tempat kerja yang tidak menyenangkan.
~Kecenderungan menggunakan keganasan untuk menyelesaikan masalah (penderaan kanak-kanak/ pasangan, pembuli jalanraya, pembuli sekolah)   
Kebanyakan daripada kita sedikit sebanyak pasti mengalami masalah ini. Peningkatan taraf hidup dan pembangunan yang pesat negara, kadang-kala telah menyebabkan masalah kepada golongan tertentu yang menyebabkan tekanan atau stres daripada rutin kehidupan harian sama ada berpunca dari kerja, persekitaran atau individu lain. Masalah ini tidak sewajarnya dipandang mudah dan memendamkannya sehingga boleh mengganggu emosi dan rohani sehinggakan boleh menyebabkan mengalami masalah mental yang kronik.

Masih ramai rakyat Malaysia yang enggan mendapatkan kaunseling apabila menghadapi tekanan. Akhirnya ada yang mengambil keputusan drastik; dan paling membimbangkan ialah membunuh diri. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang lelaki berusia 25 tahun terjun bangunan Wisma Persekutuan (Terengganu) daripada tingkat 5 dan dijangka terjun dengan sengaja dan telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Jangan memandang enteng dengan masalah mental, andai terasa diri mengalami masalah, tertekan, rasa rendah diri.. jangan sesekali biarkan diri hanyut sebaliknya cuba dapatkan nasihat daripada kaunselor. Andai malu, cukuplah sekadar meluahkannya pada teman-teman yang boleh dipercayai, menulis di blog, berblogwalking,  melakukan aktiviti fizikal, dan melibatkan aktiviti bermasyarakat secara aktif. Elakkan diri daripada menyendiri dan menyalahkan diri sendiri. Di bawah ini merupakan langkah-langkah untuk mendapatkan kesihatan mental yang baik.
10 Langkah Ke Arah Kesihatan Mental Yang Positif
  • Menerima kenyataan diri secara realistik.
  • Mengendali masa dengan baik (time management)
  • Merancang perubahan dalam kehidupan secara bijak.
  • Memupuk hubungan harmoni dan kasih sayang dengan ahli keluarga dan orang lain.
  • Menjaga kesihatan fizikal.
  • Menyediakan masa untuk aktiviti fizikal dan riadah.
  • Memastikan rehat dan tidur yang cukup.
  • Mengendalikan tekanan mental secara berkesan.
  • Mengamalkan asas-asas kerohanian yang baik.
  • Berkongsi masalah dengan orang lain dan mendapat pertolongan profesional sekiranya perlu. 
Pegangan agama penting. Dengan melakukan ibadah atau meditasi boleh mengurangkan stres. Dengan meletakkan tubuh badan dalam keadaan tenang, stres dapat dikurangkan. Berdoa, beribadah atau bermeditasi adalah latihan kerohanian yang boleh dilakukan di rumah dengan bersyukur kepada Tuhan atas segala kebaikan dan rahmat yang anda perolehi.  Sentiasalah bersangka baik dengan Allah, pasti masalah mental dapat diatasi.




No comments:

Post a Comment