Monday 2 January 2012

Jangan Kau Tangisi


Setiap yang bercinta belum tentu bahagia dan suka dengan cinta yang kita tagihkan selama ini. Kadang-kadang cinta yang hadir banyak mengundang kehancuran. Ingin dilepaskan tapi perasaan terikat dengan janji-janji yang telah dilafaz. Namun, apabila hati dengan keterpaksaan sudah pasti hubungan itu akan berakhir jua walaupun bukan kita yang lepaskan. Buat apa cinta dipertahankan andaikata setiap malam menangisi dosa yang dilakukan. Mungkin pada mulanya amat payah untuk melupai, tetapi apabila akal waras telah menguasai diri, pasti terasa begitu bersyukurnya kita kerana kita bukan menjadi miliknya lagi. Rasa bebas sebebasnya daripada kongkongan maksiat yang bermaharajalela bertunjangkan nafsu rakus milik syaitan durjana. Kita pasti melompat keriangan andai itu yang terdetik di fikiran. Yes, aku berjaya membebaskan diri dari terus dirantai nafsu.

Kita sepatutnya bersyukur kerana Allah telah melepaskan kita daripada menanggung beban dosa yang sentiasa melingkari hidup kita. Saban hari bebanan dosa yang ditanggung bertambah walaupun bukan dengan kerelaan hati. Alhamdulillah kerana Allah membantu kita untuk melepaskan diri. Oleh sebab itu, jangan sesekali kecewa apabila cinta diputuskan. Sebaliknya berbahagialah kerana Allah sayangkan kita. Dia bukan orang yang sebaik-baiknya untuk kita. Yang bakal menjadi waris kepada generasi kita. Bukan diciptakan untuk menjadi ayah kepada orang yang akan mendoakan kita apabila kita ke "sana" nanti. 


Cinta manusia hanyalah pelengkap cinta padaNya. Carilah cinta kerana Allah, kerana hanya itu yang mampu mendekatkan diri kepada-Nya. Bukan cinta nafsu yang perlu ditagihkan. Andai cinta kerana Allah, sudah pasti ia bebas daripada sebarang kecelaan dan kerosakan. Carilah cinta Allah kerana dengan cinta Allah kita akan mendapat cinta manusia. Allahua'lam. 

No comments:

Post a Comment