Monday 16 January 2012

Kudis Tekanan atau Back Sores



Apa itu kudis tekanan atau back sores. Bagi pekerja di sektor kesihatan atau pesakit yang menghidapi masalah ini sudah pasti biasa dengan istilah ini. 

Kudis tekanan atau "back sores" ini adalah kudis akibat terlantar sakit di katil/ terbaring  dalam posisi yang sama untuk jangka masa yang lama, dalam keadaan tidak sedar dan tidak dapat merasa kesakitan atau tidak mampu bergerak. Kebiasaannya dihidapi oleh pesakit yang tidak mampu bergerak/ lumpuh dimana mereka banyak menghabiskan waktunya di tempat tidur ataupun bagi pesakit yang menggunakan kerusi roda. Ini memberikan tekanan pada kawasan tertentu pada tubuh. Tekanan ini dapat mengurangkan jumlah darah yang mencapai kulit dan jaringan subkutan dan menghasilkan kudis.

Kudis tekanan ini merupakan kudis yang berlaku pada kulit yang disebabkan oleh terlantar di atas katil atau duduk lama di atas kerusi roda. Ia menyebabkan isi daging membusuk sehingga boleh menampakkan tulang. Ada beberapa tahap keterukan kudis. Ia boleh melibatkan kemerahan kulit sahaja sehingga kehilangan keseluruhan lapisan kulit dengan kerosakan tulang. (rujuk gambarajah 1) Luka ini berlaku pada bahagian-bahagian tertentu badan iaitu di antara percantuman tulang iaitu pada bahagian tulang yang kurang dilapit otot atau lemak, antaranya adalah pada bahagian tulang pinggul (punggung), tulang ekor (Coccygeus), bawah belakang, tulang belikat di bahu serta pada bahagian kaki (lutut, tumit, jari kaki). (rujuk gambarajah 2)



Apabila pengaliran darah ke kulit terganggu di antara waktu melebihi 2-3 jam kudis tekanan akan terbentuk. Pada peringkat permulaan, kawasan yang terdedah kepada kudis tekanan akan merasa sakit dan kemerahan apabila kulit yang menyalutinya mati. Jika tidak dirawat dengan segera kulit akan mula melecet dan berjangkit. Jangkitan kudis tekanan boleh menular masuk hingga ke bahagian otot dan menjadi kudis yang serius.


Sementara itu, pencegahan kudis tekanan pula adalah menukar posisi setiap dua jam serta penggunaan peralatan untuk mengurangkan tekanan pada kulit, pastikan juga kulit sentiasa bersih dan kering. Bagi pesakit yang terlantar di tempat tidur seperti pesakit angin ahmar, dan pesakit yang tidak sedarkan diri, penjaga perlu mengalihkan posisi badannya setiap dua jam sekali (mengiring sebelah kanan, telentang, mengiring sebelah kiri) dan melapik dengan bantal pada bahagian-bahagian tertentu badan untuk mengurangkan tekanan. Bagi yang memakai pampers, elakkan daripada membiarkan berada di dalam kebasahan kerana ia akan luka semakin parah. Jika di hospital, kebiasaannya doktor tidak membenarkan pesakit memakai pampers untuk memudahkan persalinan kepada pesakit. Manakala untuk pesakit yang berkerusi roda, pesakit perlu menaikkan badan (push-up) setiap dua jam sekali untuk memastikan peredaran udara di bahagian punggung dan belakang badan berlaku secara normal. Selain daripada itu, elakkan geseran yang terlalu kasar ketika perubahan posisi dilakukan.

Bagi keluarga yang mempunyai anak atau adik beradik yang mengalami masalah untuk bergerak ataupun memerlukan bantuan kerusi roda, sokongan anda amat diperlukan. Jangan sesekali membiarkan mereka tidak bergerak melebihi dua jam, relakanlah diri anda untuk menggerakkan badan mereka kerana mereka tidak diberi kepekaan untuk merasa kesakitan dan keperitan seperti kita.  Sokonglah mereka, ingatlah kesakitan dan keperitan mereka bukan hanya ujian untuk mereka. Sebaliknya ujian untuk kita juga. Kita turut dipersoalkan oleh Allah jika kita tidak menunaikan tanggungjawab kepada mereka. Allahua'lam.





1 comment:


  1. Ripple mattress juga sesuai digunakan untuk mengelak daripada berlakunya kudis tekanan terutama bagi mereka yang mempunyai masalah untuk memusingkan kedudukan pesakit secara rutin. Di samping itu, bagi mereka yang mempunyai masalah penyakit kronik seperti kencing manis, untuk memastikan luka cepat sembuh adalah elok untuk mengawal paras glukosa darah pada tahap normal.

    ReplyDelete