Wednesday 11 January 2012

Kesan Merokok Kepada Ubat


 Sesetengah ubat ada pantang larang tersendiri dari segi kaedah memakannya.


Contohnya ubat yang mengandungi ion kalsium tidak boleh dimakan bersama susu kerana saling tindakan di antara keduanya dan bahan boleh menyebabkan ion kalsium mendak sebagai kalsium laktat dan tidak aktif di dalam badan. 

Demikian juga dengan pesakit yang makan ubat bagi rawatan diebetes. Ubat diebetes tidak boleh dimakan bersama alkohol kerana dapat meningkatkan kesan ubat tersebut.


Jejas Keberkesanan


Kebanyakan daripada warga Malaysia adalah perokok, terutamanya lelaki. Mereka tahu bahaya terhadap tubuh badan mereka, namun jarang daripada mereka yang tahu perbezaan kesan ubat-ubatan terhadap mereka. Asap rokok yang disedut mengandungi kira-kira 4000 bahan kimia. Antaranya termasuklah nikotina, tar, karbon monoksida dan hydrogen sianida. 

Merokok dan ubat antibiotik: 

Antibiotik digunakan bagi merawat jangkitan kuman, namun demikian, ada kalanya antibiotik gagal memberi kesan yang diharapkan. 

Contohnya gandingan antibiotik oksasilin dan omeprazole dalam rawatan ulser peptik berkaitan dengan jangkitan bakteria Helicobacter pylori. 

Kajian mendapati bahawa sesetengah pesakit yang terus merokok ketika sedang menggunakan antibiotik ini, gagal dirawat sepenuhnya. 

Merokok dan ubat antiparkinson: 

Amantadin ialah ubat bagi merawat penyakit Parkinson (sejenis penyakit gangguan pergerakan dan pertuturan yang dihadapi oleh bekas Juara Tinju Dunia Muhammad Ali dan penyanyi pujaan tahun 1960-an. A. Ramlee) dan juga sebagai ejen antivirus. 

Selepas dimakan, lebih banyak armantidin yang tersebar di dalam tubuh seorang pesakit yang merokok daripada pesakit yang tiada merokok. 

Jadi, bagi dos yang sama kesan ubat berkenaan mungkin berlainan bagi seorang perokok daripada kesannya terhadap pesakit yang tidak merokok. 

Merokok dan ubat antisawan: 

Karbamazepin adalah sejenis ubat antisawan. Kajian menunjukkan bahawa pesakit yang merokok ketika menggunakan karbamazepin lebih cenderung mengalami keadaan kurang ion natrium (hiponatremia) di dalam darah. 

Merokok dan ubat antimalaria. 

Kuinin digunakan bagi merawat malaria dan merokok boleh mempercepatkan penyingkiran ubat kuinin dari tubuh. 

Merokok dan ubat antilelah. 

Ramai pesakit telah menggunakan teofilin bagi meredakan kesesakan nafas. Perokok didapati lebih cepat menyingkirkan teofilin daripada pesakit yang tidak merokok. Oleh itu, kesannya untuk merawat lelah akan berkurangan. 

Merokok dan ubat antiulser. 

Kesan beberapa ubat antiulser yang dimakan pada sebelah malam juga didapati berkurangan bagi perokok berbanding pesakit yang tidak merokok. 

Merokok dan ubat pencegah hamil. 

Terdapat bukti menunjukkan bahawa sesetengah hormon yang terdapat di dalam pil-pil pencegah hamil lebih mudah diungkai bina di dalam hati perokok. Ini boleh mengurangkan keberkesanan ubat tersebut. 

Merokok dan benzodiazepina. 

Benzodiazepina adalah sejenis ubat tidur yang kuat. Kesan ubat ini mungkin berkurangan kepada perokok.

Menanggung risiko 

Daripada hasil kajian yang dirumuskan di atas, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa tabiat merokok ketika makan sesetengah jenis ubat boleh mengubah keberkesanan ubat-ubat tersebut. 

Pesakit yang terus merokok ketika makan ubat boleh menanggung pelbagai risiko akibat saling tindakan yang tidak diingini. 


No comments:

Post a Comment