Saturday, 31 December 2011

Solat Sunat Istikharah


Semua orang pasti selalu dengar tentang solat istikharah, terutamanya untuk pasangan yang ingin berkahwin. Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik.


Sesungguhnya manusia diciptakan oleh Allah Taala dalam keadaan lemah. Kelemahan yang ada pada manusia itu menyebabkan apa jua rancangan dan tindakan yang kita lakukan kadang-kadang sudah diyakini baiknya, tetapi belum tentu baik bagi Allah Taala. Begitu juga apa yang kita rancang dan kita lakukan sudah diyakini kesan buruknya, tetapi belum tentu buruk menurut penilaian Allah. Dalam hal ini kita harus mengakui bahawa daya fikir dan akal manusia sangat terbatas. Untuk itu kita dianjurkan beristikharah.


Istikharah merupakan salah satu cara yang Allah berikan kepada kita, sebagai salah satu medium kita berserah, tunduk kepadaNYA. Ianya hanyalah medium perantaraan antara kita dengan Allah, sedangkan natijah yang terhasil dari istikharah itu sendiri adalah pergantungan diri kita terhadap Allah. Iaitu tunduknya HATI pada segala ketentuan yang ALLAH telah aturkan.


Istikharah tidak memperlihatkan masa depan kita, ianya hanyalah medium antara kita dan Allah, sebagai tanda kita betul-betul mengharapkan petunjukNYA dalam setiap perkara yang dilakukan. Ada yang memahami, petunjuk istikharah paling tepat adalah melalui mimpi. Mimpi bukanlah satu-satunya jalan yang memimpin manusia kepada petunjuk Allah s.w.t. Kadang-kadang petunjuk Allah Taala datang melalui buah-buah iman yang masuk menyerap ke dalam hati sehingga menerbitkan keyakinan dan rasa hati yang kuat melalui keyakinan untuk memilih salah satu di antara beberapa pilihan. Jika kita mempunyai kecenderungan untuk memilih salah satunya, maka itu merupakan isyarat kuat daripada Allah. Pilihlah dulu terimalah seadanya, kemudian solatlah istikharah dan ketika itu pohonlah kepada Allah Taala moga pilihan kita tersebut tepat dan terbaik yang boleh membawa kebaikan dunia dan akhirat.

Perbincangan, penelitian  serta nasihat-nasihat yang diterima hasil dari perbincangan adalah satu satu cara  seseorang itu memohon istikhrah dari Allah. Penyerahan kita pada Allah dalam menentukan hasil yang akan kita perolehi adalah setelah kita berusaha secara optimum sebelum dan selepas solat sunat istikharah.


Dalam sesetengah hal, kite perlu melakukan istikharah. Kita tidak menafikan bahawasanya kita mempunyai akal yang diberikan dengan penuh kesempurnaan, tetapi kesempurnaan akal dalam berfikir punyai hijab yang kita tidak boleh menyingkapnya, itulah perkara akan datang. Keterbatasan akal merupakan salah satu kekurangan yang akal punyai, dan kekurangan ini perlu ditampung dengan sesuatu, agar kelak kemudian, ianya menjadi suatu kesempurnaan.

Inilah yang dimahukan Tuhan Yang Mencipta, Allah, yang Maha Bijaksana, Dia memberikan manusia sesuatu tetapi tidak memberikannya sepenuhnya, agar manusia kembali kepadaNYA.

Mahfum Hadis (Imam Bhukari) : Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini  membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”

Kenapa Allh menyuruh kita melakukan solat terlebih dahulu sebelum berdoa? Kerana solat itu penghubung antara hamba dan Tuannya. Di dalam solat itulah terdapat saat Allah paling dekat dengan hambaNYA, itulah sujud. Dengan solat, seseorang boleh mengadu kepada Tuhannya seperti seorang anak mengadu kepada ibunya. Kasih sayang Tuhan, melebihi kasih sayang seorang ibu. Dengan solat juga, ianya peluang dan saat mengingati Tuhan paling maksimum. Setiap tindakan , ruku’ , i’tidal, sujud , berdiri , tahiyyat, semuanya memuji-muji Allah, penguasa sekelian Alam.


Maka benarlah, solat itu pengubat hati yang bergelora, hati yang gersang dengan kasih sayang, hati yang memerlukan bimbingan, maka solatlah, ianya punca kedamaian dan ketenangan. Sumber petunjuk Allah.


No comments:

Post a Comment