Wanita dicipta dengan kemuliaan syahadah.
Kerana benih seorang lelaki,
Wanita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu
menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki,
Wanita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai,
sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta,
wanita diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki,
tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki,
tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, Wanita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang,
Wanita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi,
maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Wanita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya.
Wanita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga Wanita tua, rapuh dan mati.
Tetapi Wanita bahagia dalam dakapannya.
No comments:
Post a Comment